Friday, April 3, 2009 at 10:57 PM |  
Pada 22 hb Mac 2009, semua pelajar HMT 329, Dr.Radiah dan Cik Helina telah pergi ke Plaza Gurney. Kami menaiki bas ke Komtar dan dari Komtar kami semua menaiki bas percuma untuk pergi ke Padang Kota dengan harapan dapat melawat Kota Cornwallis. Tetapi, hajat kami tidak kesampaian kerana tempat bersejarah tersebut tidak dibuka pada hari Ahad. Terdapat tugasan yang kami perlu lakukan sepanjang perjalanan kami ke Plaza Gurney. Kami perlu melihat kesalahan bahasa yang digunakan, penjenamaan semula, penggunaan kata panggilan dan sebagainya. Kumpulan kami terdiri daripada empat orang iaitu Sharifah Shadhatul Nadrah, Choi Hooi Lean, Nur Hanizah dan pelajar yang tidak mempunyai kawan iaitu Azrul Azizul Hakim.





Perkara pertama yang ahli kumpulan kami dapat lihat ialah penjenamaan semula. Penjenamaan semula bermaksud sesuatu lambang atau produk yang digunakan kepada produk yang bukan keluaran mereka tetapi untuk menonjolkan produk mereka. Perkara ini dapat dilihat pada bas-bas Rapid Penang. Penjenamaan tersebut ialah Fly fm iaitu sebuah stesen radio di Malaysia. Selain itu, hal ini turut dapat dilihat di beberapa stesen bas kecil. Jenama yang kerap dijumpai ialah Maxis, Honda, Follow Me dan Sharp. Perkara ini dapat dibuktikan seperti contoh gambar di bawah


Gambar 1


Gambar 2



Selain itu juga, kata sapaan diabaikan oleh jurujual di kedai-kedai yang terdapat di Gurney. Mereka amat jarang menggunakan kata sapaan. Sepatutnya mereka mestilah menggunakan kata sapaan untuk menunjukkan penghormatan kepada pengunjung yang mengunjungi kedai mereka. Tetapi terdapat sebuah kedai iaitu kedai Body Glove yang menggunakan kata sapaan iaitu Welcome atau transliterasinya selamat datang. Mereka menyapa kami dengan menggunakan kata sapaan berbahasa Inggeris. Jurujual kedai ini juga mengucapkan kata sapaan Thank you sewaktu kami melangkah keluar dari kedai tersebut. Kesimpulannya, penggunaan kata sapaan amat

jarang digunakan oleh jurujual untuk menyapa pelanggan mereka.




Selain itu, kami juga turut melihat penggunaan bentuk panggilan sewaktu menjalankan kajian kami di Gurney. Antara bentuk panggilan ialah Cik, Encik atau Puan, Tuan dan sebagainya. Bentuk panggilan untuk bahasa Inggeris pula ialah Miss dan Mr. Tetapi penggunaan bentuk panggilan ini diabaikan oleh jurujual di Gurney. Kebanyakan daripada mereka tidak menggunakan bentuk panggilan ini. Penjual biasanya akan terus bertanyakan soalan kepada pelanggan seperti “Nak cari apa?” dan tidak menggunakan bentuk panggilan. Dari segi penggunaan bahasa pula, kebanyakan jurujual di Gurney menggunakan bahasa rojak iaitu mencampurkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam pertuturan mereka. Hal ini mungkin kerana kebanyakan daripada jurujual yang kami temui merupakan berbangsa Cina dan tidak mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Tetapi sewaktu kami bertanyakan soalan kepada jurujual berbangsa Melayu di kedai kasut Santa Barbara, jurujual tersebut turut menggunakan bahasa rojak. Sedangkan kami mengemukakan soalan dalam bahasa Melayu.




Seterusnya, kebanyakan jurujual menggunakan bahasa yang sama dengan bahasa dituturkan oleh pelanggan dengan andaian pelanggan mengetahui bahasa tersebut. Contohnya jika pelanggan tersebut menggunakan bahasa Inggeris, jurujual tersebut akan turut menggunakan bahasa Inggeris untuk melayan pertanyaan yang dikemukakan oleh pelanggan. Hal turut bersamaan apabila pelanggan menggunakan bahasa Melayu atau Cina. Tetapi terdapat juga jurujual yang menggunakan bahasa Inggeris walaupun kami mengemukakan soalan dalam bahasa Melayu. Hal ini berlaku apabila Sharifah mengunjungi kedai makanan Jepun. Sharifah telah mengemukakan soalan dalam bahasa Melayu tetapi jurujual menjawab soalan tersebut dalam bahasa Inggeris. Manakala terdapat juga sesetengah jurujual yang secara automatik akan menggunakan bahasa Cina jika pelanggan berbangsa Cina. Hal ini dapat dilihat sewaktu Hooi Lean mengunjungi kedai makanan Jepun. Jurujual tersebut secara automatik menyapa Hooi Lean dalam bahasa Cina / Mandarin.




Terdapat banyak kesilapan bahasa yang dapat dilihat semasa di Gurney dan semasa perjalanan pulang ke USM. Kesilapan bahasa yang dapat kami lihat adalah kesilapan menulis perkataan dalam bahasa Inggeris. Sebagai contohnya perkataan Restrooms yang dituliskan secara tidak terpisah. Perkataan ini seharusnya ditulis seperti berikut : Rest rooms. Kesilapan ini turut berlaku dalam bahasa Melayu. Sebagai contohnya ialah penulisan Rumahapi dan hakmilik yang ditulis secara tidak terpisah. Kedua-dua perkataan ini merupakan kata majmuk. Terdapat beberapa kata majmuk yang ditulis secara tidak terpisah tetapi kata majmuk tersebut ialah kata majmuk mantap. Kedua-dua perkataan tersebut bukan merupakan kata majmuk mantap yang mesti ditulis secara terpisah. Kesilapan yang seterusnya ialah kesilapan penulisan di sebagai afiks dan preposisi. Kesilapan ini merupakan kesilapan yang paling banyak dikesan di sekitar Padang Kota dan Plaza Gurney. Keseluruhan kesilapan ini dapat dilihat seperti gambar di bawah :

Gambar 3

Gambar 4


Gambar 5

Gambar 6

Gambar 7



Gambar 8

Kesalahan penulisan di sebagai preposisi dapat dilihat dalam gambar 7. Sepatutnya, penulisan di sebagai preposisi ditulis secara terpisah. Kesalahan penulisan di sebagai afiks juga turut dapat dikesan. Hal ini dapat dilihat dalam gambar 4 dan 8. Sepatutya penulisan di sebagai afiks mestilah ditulis secara tidak terpisah. Kesalahan penulisan kata majmuk pula dapat dilihat dalam gambar 5 dan 6. Manakala terdapat juga kesalahan penterjemahan. Hal ini dapat dilihat dalam gambar 4. Dalam gambar ini istilah sprinkler dalam bahasa Inggeris diterjemahkan terus dalam bahasa Melayu dengan menggunakan istilah bahasa Inggeris juga. Hal ini mungkin berlaku kerana tiada istilah yang membawa makna yang sama dengan perkataan sprinkler. Perkara ini menyebabkan bahasa Melayu meminjam secara keseluruhan istilah bahasa Inggeris tersebut.




Perkara yang seterusnya ialah dari segi aspek hormat. Kata sapaan, bahasa badan, bentuk panggilan dan sebagainya dapat menunjukkan tanda penghormatan seseorang kepada seseorang yang lain. Tetapi wujud juga keadaan jurujual yang tidak hormat kepada pelanggan mereka. Sebagai contohnya, semasa kami mengunjungi ke butik Guess, jurujual di sana tidak melayan kami apabila Hanizah bertanyakan soalan kepada mereka. Hal ini mungkin terjadi kerana mereka beranggapan bahawa kami tidak mampu membeli barangan jenama tersebut. Perbuatan ini jelas menunjukkan bahawa jurujual tersebut tidak hormat kepada kami. Sebagai penjual mereka mestilah sentiasa memberikan perkhidmatan yang sama tanpa mengambil kira status pelanggan.




Kesimpulannya, perjalanan kami pada hari tersebut berakhir dalam keadaan yang selamat. Selain itu, terdapat banyak perkara baru yang dapat kami peroleh. Kami juga dapat mengaplikasikan ilmu bahasa yang kami pelajari dengan menganalisis setiap perlakuan manusia di Gurney. Perkara ini merupakan perkara yang menyeronokkan. Bagi kesalahan bahasa pula, kerajaan negeri mestilah sentiasa mengambil berat perkara ini kerana kadang kala terdapat juga kesalahan penulisan dalam bahasa Inggeris yang boleh menganggu pelancong asing.











Ahli Kumpulan

Sharifah Shadhatul Nadrah, 22

Choi Hooi Lean

Nur Hanizah, 18

Azrul Azizul Hakim, 1
Posted by mr_hakimz

0 comments: